.

seposen untuk Porsche

Sunday, January 31, 2016

Tidak mudah

Posted by kaki ayam a.k.a. ceker at 1/31/2016 07:52:00 PM 0 comments
Assalammualaikum w.b.t.

Baru-baru ni ketika pulang ke kampung, terdengar khabar kurang enak (pada aku la) mengenai sepupu yang baru menerima segulung ijazah. Dengan sehelai kertas itu, dia mengharap untuk menerima gaji yang sesuai dengannya. Mak ayahnya pula runsing. Sudah habis belajar, PTPTN masih menunggu untuk dilangsaikan, anak dara pula masih menunggu tawaran kerja yang sesuai. Kerja kilang tak mahu, ikut katering pun tak mahu.

Aku hanya terdiam tatkala mendengar perkhabaran itu. Lain situasi anak tersebut dibesarkan, lain pula cara dia berfikir untuk menyelesaikan masalahnya (jika itu satu masalah). Aku bukan orang senang, terang-terang cakap. Selepas tamat SPM, aku kerja kilang. Bersama seorang rakan. Rakanku kerja sehari. Esoknya tak muncul-muncul lagi. Katanya letih. Mahu kerja di tempat yang lebih selesa. Masa kami pergi carik kerja minggu sebelumnya, rata-rata kedai jual pakaian di pekan kecil itu milikannya bukan orang kita. Lantas tak mahu pekerja seperti kita, apatah lagi pakai tudung.

Lepas STPM, aku ikut kursus Bahasa Inggeris di Bangi. Di sana aku menampung hidup dengan saki baki biasiswa tingkatan 6. Maklumlah, yuran pengajian dan tempat tinggal ditaja, tapi makan sendiri. Memang mahal kos makan kat sana. Tapi lauk pauknya amat menyelerakan. Namun, jika sekali makan RM10, aku mencari kerja sampingan. Mujur ada kawan-kawan yang mahu berniaga jual roti sosej dan kek batik serta nasi lemak. Aku mengambil upah jual bilik ke bilik. Sehari gajiku RM5. Bermula pukul 6 petang hingga 7 lebih. Jadiklah, RM5 tu aku buat makan malam pulak.

Semasa di universiti, aku masih lagi mencari peluang kerja sambilan. Kerja sebagai cashier/penjaga kedai di Koperasi desasiswa kami. Gaji mengikut shift dan ada ketika aku dapat RM80 sahaja. Aku pun bekerja hanya pada hari Sabtu dan Ahad saja. Alhamdulillah, dapatlah menampung kos makan.

Di tahun akhir, aku kerja di Jusco. Sales assistant je. Tapi muai. Gaji RM900 paling banyak aku dapat. Kalau tak dalam RM650 je sebulan. Itu pun aku masuk kerja setiap hari pukul 6 petang sampai 11 malam. Hari Sabtu dengan Ahad aku masuk pagi, pukul 10 sampai la malam. Saja buat OT sebab nak dapat lebih. Tapi kadang-kadang tu Supervisor tak bagi, sebab barang pun apalah sangat yang diorang jual. Hari-hari makan nasi lemak lauk telur mata. Kalau tak pun, makan nasi putih lauk sayur kobis goreng dengan sambal. Ada satu tenant kat food court yang jadi tempat makan aku dengan member. Pakcik tu kira murah je, Rm2-Rm3 je sekali makan. Air tak beli sebab bawak sendiri.

Tamat pengajian, balik ke kampung, masih lagi tidak dipanggil mana-mana tempat. Jadinya, aku kerja di 7 Eleven dengan gaji RM700 sebulan. Di sini, sistem gaji ialah sebulan dua kali. Maknanya setiap 2 minggu aku dapat RM350. Jadilah.

Kemudian aku mintak kerja di sebuah kilang perabot. Kerjanya lebih mudah, hanya jadi front girl je, macam receptionist dengan gaji RM700. Aku rasa lebih lega sebab tak perlu kerja shift, kejap malam kejap siang kejap petang. Baru dua bulan bekerja, bos aku suruh aku belajar mengenai jenis-jenis kayu dan penyimpanan data. Gaji naik lagi RM150. Aku syukur sebab ye lah, kerjanya bermusim. Kadang-kadang banyak, kadang-kadang takde langsung. Tetapi, di kilang ini aku belajar mengenai mereka yang digelar bangsa Cina ini. Cara kerja mereka sangat mantap. Waktu bekerja semuanya serius. Jika rehat, mereka rehat. Aku tak pernah tengok diorang masuk lambat.

Sehinggalah aku dipanggil untuk ditemuduga posisi kini. Alhamdulillah. Aku rasa apa yang penting sekali, redha. Kerjalah apa pun selagi ia mendatangkan rezeki yang halal dan berkat. Sebab dari situ, kita belajar untuk terima seadanya. Kalau tak rasa susah, macam mana nak rasa senang.