.

seposen untuk Porsche

Friday, February 24, 2012

Diam

Posted by kaki ayam a.k.a. ceker at 2/24/2012 11:06:00 PM
Assalammualaikum w.b.t.

Dulu sewaktu aku mula-mula bawa jumpa bakal suami, abah bertanya, 'tak ada yang tua lagi ke?' Memandangkan kami sebaya. Kini, aku dapat rasakan sang suami masih belum puas hidup membujang. Ke...aku je yang terasa macam tu?

Betapalah kalau balik dari kerja, terus aku menjemput anak bawa pulang dan kemudian terus pula dimandikan, dibersihkan dan diberi susu. Tak sempat-sempat nak rehat, nanti dia pulak balik kerja terus ajak makan luar. Walaupun aku kadang kala letih nak keluar. Apa taknya, nak bersiap lagi itu ini. Susu kena sediakan. Dah sahlah keluar kalau dapat sejam tak apa, ini minima dua jam.

Balik dari makan, elok pulak dah Maghrib. Barulah sempat berehat dan kadang tu tak rehat pun. Gigih pula menggosok baju untuk esok dan bancuh susu anak sebelum tidurkan. Akhirnya, si ibu pun tidur sekali.

Aku cukup kagum dengan para ibu dan isteri yang tidak pernah merungut tentang kehidupan seharian mereka yang dikelilingi anak, masih berupaya menyediakan masakan yang enak dan melayan suami bagaikan raja.

Oppp...suami bagaikan raja itu tidaklah menjadi prinsip hidupku. Kerana aku tak suka raja dan sultan. Pada aku mereka tu tak lebih dari pangkat yang diberi manusia saja. Dan manusia juga yang melayan mereka melebih-lebih.

Aku pernah berkecil hati ketika aku awal-awal berpindah. Sang suami seronok bermain futsal setiap malam bersama rakan sedang aku ditinggalkan sendirian bersama anak. Pernah aku baru pulang lewat petang kerana bermesyuarat. Tak sempat aku tanggalkan tudung sang suami sudah bersiap mahu keluar.

Apalah dayaku melarang. Sedang tika itu aku belum sempat menjamah makanan. Dalam keletihan, aku menangis.

Kini dia sedang berehat seminggu. Masih mahu menghantar anak ke pengasuh atas alasan mahu mengemas rumah. Aku terdiam. Walhal aku tahu niatnya hanyalah nak mengayuh basikal yang baru dibeli itu. Dan aku terpaksa katakan padanya, sukarkah mahu menjaga anak sendiri? Akhirnya dia bersetuju setelah aku nyatakan seeloknya anak lelaki dibiarkan rapat dengan ayahnya. Sudahlah nanti dia ada operasi memakan masa berminggu-minggu tak balik rumah. Masa tu tahu pulak nak rindukan anak bini. Ada masa ni duk melayan aktiviti sendiri saja.

Kadang hati ini tak seiring dengan akal dan mulut. Fikir lain, cakap lain dan rasa lain. Dalam kepala time marah, nak saja kuhamburkan kata-kata sinis namun bila di mulut, ayat yang lain keluar. Dan penyudahnya, hati pula rasa sedih. Betapalah kita menjaga perasaannya tapi dia pula buat tak tahu. Sabarlah duhai hati...

0 comments: